BAHAN ROTI JALA
450g tepung gandum
1 camt garam
½ camt serbuk kunyit
450 ml susu segar
3 biji telur (di pukul sedikit )
450 ml air ( sekiranya semasa menyediakan adunan, ianya agak pekat tambahkan sedikit air )
2 camb mentega cair
minyak untuk melenser
acuan roti jala
CARA MEMBUAT ROTI JALA :
1. Ayak tepung, garam dan serbuk kunyit ke dalam mangkuk besar. Buatkan lubang di tengahnya. Tuangkan susu, telur, separuh daripada air dan setengah mentega cair ke dalamnya. Gunakan pemutar belon / balloon whisk untuk membancuh. Masukkan baki air dan mentega hingga adunan tidak bergentel. Tapis dengan penapis halus.
2. Ketepikan adunan selama 20-30 minit.
3. Panaskan kuali leper yang tidak melekat atas api sederhana. Kemudian lenserkan sedikit minyak panas dengan berus lenser atau berus pandan.
4. Kacau dan isikan 80ml adunan ke dalam acuan roti jala.
5. Bermula dari bulatan luar, pusingkan acuan kira-kira 6-8 cm di atas kuali. Terus memusing dalam bulatan untuk membentuk juraian roti jala. Jangan buat pada bahagian yang sama dua kali kerana roti jala akan menjadi tebal. Biarkan masak tetapi jangan sampai keperangan.
6. Angkat dan lipat roti dalam bentuk baji atau gulungkan. Ulangi proses yang sama sehingga semua adunan habis di gunakan.
BAHAN KARI DAGING ( boleh juga di gantikan dengan kari ayam, ikut yg mana suka…)
1 ½ kg daging
125 ml minyak
5 labu bawang Spanish sedang – di cincang halus
12 ulas bawang putih – di cincang halus
2 kuntum bunga lawang
2.5 cm kulit kayu manis
4 biji buah pelaga ( ambil bijinya )
4 tangkai daun kari
70 g rempah kari daging – di campur dgn 125 ml air – jadikan pes
1liter santan cair
500 ml santan pekat
3 biji ubi kentang besar ( di kupas dan di hiris kasar )
garam secukupnya
CARA MENYEDIAKAN KARI DAGING :
Potong daging setebal 1 cm dan selebar 5 cm. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bawang Spanish, bawang putih dan rempah yang lain hingga keperangan. Bubuh daun kari dan pes kari. Masak atas api perlahan sehingga wangi.
Tuangkan sedikit santan cair ke dalamnya jika rempah melekat pada periuk. Campurkan daging dan kacau sampai airnya agak kering. Masukkan pula santan cair dan biar menggelegak. Kemudian tutup periuk dan renehkan selama ½ jam atau hingga daging empuk. Bubuh pula kentang dan masak sampai empuk. Akhir sekali masukkan garam dan santan pekat , gaul sehingga sebati. Apabila kari menggelegak semula angkat dari api.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan