Blog ini diabadikan kepada anak-anakku. Semoga koleksi resipi ini akan menjadi panduan kepada mereka untuk mencubanya suatu hari nanti.

Ahad, 9 Oktober 2011

Pai Tee



Salam semua.
Inilah pertama kalinya aku mempamerkan hasil tanganku sendiri.  Pastinya tulisan aku kali banyak kekurangannya.  Gambar yang ku upload tidak begitu terang.  Harap dapat memahami segala kekurangan ini.  Blog ini sebenarnya aku abadikan untuk anak-anakku yang bakal menempuh alam remaja.  Rasanya inilah cara yang terbaik mampu aku abadikan untuk mereka.  Menulis dan mempamerkan resipi yang selama ini mereka makan iaitu daripada air tanganku sendiri.


Resipi pertamaku kali ini ialah Pai Tee.  Kuih yang menjadi kudapan pada waktu petang.  Resipi ini telah kuambil daripada internet dan kubuat sendiri.  Ermmmm..... memang enak. Cubalah sendiri.


Bahan Kulit Pie Tee:
Sumber : Dapur Kak Ilah JY
  • 4 sb tepung gandum
  • 3/4 cwn tepung beras
  • 3/4 cwn air
  • 1 biji telur
  • secubit garam
  • sedikit lada sulah
  • sedikit air kapur
  • gula dan bahan perasa
  • minyak secukupnya untuk menggoreng
Cara-cara:
1.   Ayakkan tepung-tepung dan garam, masukkan lada sulah, bahan perasa dan gula.
2.  Campurkan telur dan air, gaul sebati. Pukul semuanya sehingga kembang dan berbuih.
3.  Peramkan adunan selama 20 minit.
4.  Panaskan minyak dalam kuali yang dalam (saya guna periuk)
5.  Rendam calung pie tee dalam minyak yang panas, biarkan lama sedikit supaya calung benar-benar panas.
6.  Celupkan calung pie dalam adunan separas 3/4 dan masukkan ke dalam minyak panas seperti membuat kuih goyang atau kuih ros. Biarkan sebentar sehingga adunan agak lekang. Tolak keluar dengan lidi atau garfu.
7.  Gorengkan sehingga kekuningan. Buat sehingga habis.
Bahan-bahan untuk intinya
   1 biji bawang besar
    3 ulas bawang putih
    Udang hidup (kuantiti mengikut citarasa)
    Garam dan gula secukupnya
    1 batang carrot (diparut)
    1 biji sengkuang (diparut)
    Sedikit taugeh (kuantiti mengikut citarasa)
    Sedikit bawang goreng
    Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara (inti pai):
·       Tumis bawang besar dan bawang putih hingga garing dan naik bau
·       Masukkan udang, biarkan sebentar hingga udang masak
·        Masukkan garam dan gula secukupnya diikuti dengan sengkuang dan carrot
·       Masak sehingga sengkuang dan carrot lembut (sederhana masak, jangan sampai lecur)
·       Akhir sekali masukkan taugeh, kacau rata
·       Tutup api, kemudian taburkan bawang goreng dan kacau hingga sebati
·       Inti pai sedia untuk digunakan